Pengajaran Isra’ dan Mikhraj

June 29, 2011 , Views: 146

Dakwah

Assalammualaikum Warrahmatullahi Wabarokatuh

27 Rejab, merupakan tarikh yang ditunggu-tunggu oleh para MUSLIM yang bertaqwa, kerana dengan berlakunya peristiwa inilah, pelbagai pengajaran yang dapat diperoleh.

Menurut Syeikh Prof Dr Yusuf al-Qaradawi, menerusi peristiwa berkenaan, kita boleh fokuskan kepada dua perkara penting, pertama berhubung dengan Masjid al-Aqsa dan hubungan dengan Masjid al-Haram, kedua mengenai kewajipan solat yang diserahkan Allah kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam.

 


Persoalannya di sini, mengapa ALLAH Ta’ala tidak memperjalankan baginda terus ke langit ketujuh, tetapi singgah dahulu di Masjid al-Aqsa? Ini kerana ALLAH Ta’ala mahukan agar baginda bertemu dengan para anbiya terlebih dahulu bagi menyatakan sokongan padu mereka terhadap kerasulan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, di samping mahu Baginda Sallallahu Alaihi Wassalam, singgah di sebuah tempat yang penuh dengan keberkatan daripada Allah Ta’ala seperti yang disebut dalam ayat pertama surah al-Israk.

“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya pada malam hari dari Masjidil haram ke Masjidil Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya, untuk diperlihatkan kepadanya tanda kekuasaan Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Kepimpinan Baginda Sallallahu Alaihi Wassalam menjadi titik tolak penyatuan akidah dan syariat di kalangan para anbiya, justeru baginda menjadi imam solat kepada mereka, iaitu kepimpinan bersifat global, bukan hanya untuk kaum  atau bangsa tertentu, malah buat manusia sejagat yang terdiri daripada pelbagai etnik, suku kaum, bangsa yang menunjukkan kebesaran ALLAH Ta’ala dalam mencipta makhluk  bernama manusia.

Pengajaran kedua terpenting menerusi peritiwa Israk dan Mikraj, ialah pelaksanaan ibadat solat lima waktu, ia merupakan mikraj (lif/tangga) seorang Muslim menghadap Tuhannya, kepentingan solat juga tidak dapat dipersoal oleh mana-mana individu Muslim, walau apapun jawatan dan kedudukannya dalam masyarakat.

Apabila solat seseorang itu beres dengan Tuhannya, maka akan bereslah urusan hidupnya yang lain, hubungan roh seorang muslim itu sangat penting dengan Tuhannya, justeru ia ada kaitan dengan kedua-dua masjid yang disebutkan di atas. Apabila seseorang itu menunaikan solat dengan penuh khusyuk dan tawadduk, dia seolah-olah sedang berkata-kata dengan ALLAH Ta’ala dan terserlah ketika membaca al-Fatihah tujuh belas kali sehari semalam, untuk menyatakan munajat dan aduannya kepada ALLAH Ta’ala bagi memudahkan tugas dan peranannya untuk menyeru manusia ke jalan kebenaran.

Firman ALLAH Ta’ala dalam surah Al-Israa (9) bermaksud

”Sesungguhnya Al-Qur’an ini memberi petunjuk ke jalan yang betul, dan memberi berita gembira kepada orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal salih, bahawa mereka beroleh pahala yang besar.”

Sedarlah wahai saudara dan saudari seISLAM ku, ISLAM itu adalah agama kita, dalami lah Al-Quran dan Assunnah, kerana itulah peninggalan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam buat kita. Lakukan yang terbaik untuk mendapat yang terbaik.. Jangan hanya mengharap tanpa berusaha. ALLAH Ta’ala itu Maha Penyayang.

Wallahua’lam.

 

 

Related posts:

  1. Eh..eh..dah nak puasa la…
  2. Tahniah Atas Perasmian Masjid Indiamuslim Tengku Kelana
  3. Bermulanya Muharram..Tahun Baruku..
  4. Run For Excellence Oleh USM
  5. Kisah 9 Zulhijjah..

About Sharifah Zuliana

Sharifah Zuliana Syed Jaafar, hanya insan biasa yang berusaha menggapai keredhaan ALLAH Ta'ala.

View all posts by Sharifah Zuliana